Tuesday, August 31, 2010

Mengurangkan kelajuan kunci mengurangkan kemalangan jalan raya

Mengurangkan kelajuan kunci mengurangkan kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya sering menghiasi dada-dada akhbar hampir setiap hari. Pelbagai langkah telah dijalankan bagi mengurangi kadar kemalangan jalan raya. Namun begitu, kemalangan jalan raya yang melibatkan kehilangan nyawa terus berlaku dan sekiranya berkurangan hanya melibatkan jumlah penurunan yang sedikit (Radin Umar,2002:13) Menurut Rahaiza Ismail dan Ali Mahmood (2002) kelajuan, keadaan fizikal jalan raya, sikap pemandu dan ciri-ciri keselamatan kenderaan yang sangat minimum adalah penyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia.

Rahaiza Ismail dan Ali Mahmood (2002) turut mengupas pernyataan Azizan Mohd Aras bahawa kelajuan merupakan faktor utama yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku. Terdapat pengguna jalan raya yang menjadikan jalan raya sebagai tempat menguji kehandalan memandu dan keupayaan kenderaan dengan memandu laju. Pemandu yang memandu lebih laju berdepan dengan risiko kecederaan yang lebih parah apabila terlibat dalam kemalangan berbanding pemandu yang memandu lebih perlahan. Hal ini terjadi kerana setiap kali kenderaan dipecut pada kelajuan tinggi sudah pasti akan menyebabkan pemandunya tidak mampu mengawal kenderaan dengan baik. Keadaan ini akan membuatkan kenderaan mengalami rempuhan yang kuat sehingga boleh membawa maut. Ini menunjukkan bahawa mengurangkan kelajuan adalah langkah utama yang boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Kebanyakan kejadian kemalangan jalan raya yang dipaparkan didada akhbar mengatakan bahawa memandu laju merupakan punca kemalangan. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

'Jangan kamu mendedahkan diri kamu kepada kebinasaan'.

Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengelakkan sesuatu perkara yang memberi kesan buruk kepada diri sendiri. Beliau mengatakan bahawa kemalangan dapat dikurangkan sekiranya pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan. Kelajuan semasa memandu berkait rapat dengan sikap memandu seseorang. Seseorang yang bersifat sabar tidak memandu secara melulu sebaliknya memandu dengan kelajuan sederhana. Perkara ini merujuk kepada perubahan sikap yang juga penting bagi tujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Untuk menjadi seorang pemandu yang beretika bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya pula memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Sikap sabar itu sendiri sangat dianjurkan dan dipandang tinggi dari sudut agama. Dalam perkara ini, sikap sabar memberi ganjaran kebaikan kepada diri dan pengguna jalan raya yang lain. Pengguna jalan raya perlu mengubah sikap dengan tidak mementingkan diri sendiri serta tidak melanggar peraturan jalan raya sebaliknya mengamalkan pemanduan secara beretika. Selain memandu melebihi had laju, kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak memberhentikan kenderaan semasa lampu isyarat merah, memotong di garisan kembar, memotong di laluan kecemasan dan sebagainya. Kesalahan lalu lintas ini juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Ini jelas menunjukkan bahawa selain mematuhi had laju, peraturan jalan raya yang lain juga perlu dipatuhi. Hal demikian kerana apabila pemandu menggunakan jalan raya dengan berhati-hati disamping mematuhi peraturan jalan raya, keselamatan pemandu lain turut terjamin. Malaysia dikenali dengan masyarakatnya yang sopan santun dan berbudi bahasa. Oleh itu, sewajarnya amalan ini perlu diterapkan semasa memandu (Radin Umar,2002:13)

Menurut Rahaiza dan Ali Mahmood (2002), faktor kemalangan jalan raya seterusnya ialah ciri-ciri keselamatan pada kenderaan yang minimum. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada kereta nasional iaitu Proton dan Perodua yang tidak memasang beg udara pada kereta keluaran mereka sebaliknya mengutamakan eksesori lain yang hanya membuatkan kereta kelihatan lebih menarik. Fenomena ini dapat dilihat melalui gambar kemalangan yang dipaparkan iaitu dalam kemalangan yang melibatkan kereta nasional dengan kereta import. Kesan kemalangan lebih ketara pada kereta nasional berbanding kereta import. Pengeluar kereta perlu menitikberatkan ciri-ciri keselamatan pada kenderaan terlebih dahulu berbanding keuntungan. Selain itu, masalah kejuruteraan jalan raya turut menjadi faktor yang menyumbangkan kemalangan jalan raya. Masalah kejuruteraan di sini juga termasuk keadaan fizikal jalan raya. Walaupun jaringan lebuh raya di Malaysia antara yang terbaik di dunia namun masih tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti yang terdapat di litar F1. Sebaliknya kebanyakan jalan raya di Malaysia dipenuhi dengan pokok-pokok, tiang lampu, penghadang jalan dan pembahagi jalan yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan. Pokok-pokok besar dan tiang lampu ini membahayakan pengguna jalan raya sekiranya kenderaan yang dipandu terbabas ke pokok dan tiang lampu berkenaan. Ramai yang tidak memberi perhatian kepada penghadang jalan yang terdapat di sepanjang jalan raya. Penghadang jalan juga boleh mengakibatkan kemalangan maut sekiranya dibina menggunakan material yang tidak boleh menyerap kesan rempuhan kenderaan. Penghadang jalan yang mempunyai ciri-ciri perlindungan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kecederaan pemandu (Radin Umar, 2002:14)

Kesimpulannya, adalah penting bagi setiap individu memilih untuk memandu dalam kelajuan sederhana supaya tidak mengalami kerugian seumur hidup. Negara telah mengalami kerugian kerana menanggung kos kematian, kos perubatan bagi mangsa yang hilang upaya seumur hidup, nilai bagi kesengsaraan apabila hilang tempat bergantung dan sebagainya. Kos ini sememangnya menelan belanja jutaan ringgit. (Radin Umar, 2002:14. Rangkaian sistem jalan raya di negara ini yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia bukanlah jaminan mengurangkan kemalangan jalan raya sekiranya pengguna jalan raya masih tidak mengubah sikap yang suka memecut semasa memandu. Tidak sepatutnya pengguna jalan raya memperjudikan nyawa semata-mata untuk memenuhi tuntutan naluri yang tidak pernah puas dengan memandu selaju mungkin di jalan raya.

Tuesday, August 10, 2010

Perbuatan zina yang membimbangkan

Perbuatan zina merupakan antara dosa besar yang amat dibenci oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menegaskan larangan berzina dan disampaikan melalui firmanNya yang menyeru agar kita tidak mendekati seterusnya melakukan perbuatan zina ekoran natijahnya yang sangat buruk terhadap masyarakat. Menurut Harussani Zakaria, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya perbuatan zina. Faktor-faktor tersebut ialah pergaulan bebas, pengeksploitasian wanita dalam iklan dan kabanjiran gambar dan video lucah dalam internet.

Beliau mengatakan internet juga merupakan medium yang menyumbangkan perbuatan zina. Internet merupakan kemudahan yang memberi banyak kebaikan dalam memudahkan urusan kita. Namun begitu, internet menjadi bahan yang memudaratkan jika disalahgunakan. Internet turut memuatkan laman-laman dan gambar pornografi yang menjadi 'santapan mata' masyarakat terutamanya golongan remaja. Ini merupakan pengaruh barat yang dikenali sebagai 'perang psikologi' yang turut menyumbang kepada perbuatan zina. Justeru bahan-bahan ini sangat mudah dimuat turun dan terdapat bahan yang boleh dimuat turun secara percuma. Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat peralatan seks yang dijual dan mudah diperolehi seperti di kedai-kedai runcit. Masyarakat seharusnya sedar bahawa barat menjadikan media sebagai taktik halus untuk menghancurkan umat Islam. Pengaruh barat berjaya menyelinap masuk melalui saluran internet yang menyajikan bahan-bahan berunsurkan seks yang hanya menggalakkan lagi perbuatan zina. Ironinya, masyarakat lebih mudah meniru budaya barat yang bersifat negatif sahaja.

Justeru, beliau turut menyatakan bahawa kecanggihan teknologi media cetak ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan pengisian gambar-gambar yang semestinya mengeksploitasi kaum wanita melalui aksi-aksi mengiurkan yang ditunjuk dalam iklan produk. Saya begitu bersetuju dengan penyataan beliau kerana saya pernah melihat penglibatan wanita berpakaian menjolok mata beserta aksi yang mengiurkan bagi mempromosikan tayar kereta. Dalam perkara ini, apakah relevannya penampilan wanita berkenaan dalam iklan tersebut? Justeru, pengeksploitasian wanita turut ditonjolkan di dada-dada papan tanda sepanjang jalan. Fenomena ini bukan sahaja mengeksploitasi wanita malah mengganggu fokus pengguna jalan raya.

Perbuatan zina boleh menimbulkan lebih banyak masalah sosial seperti pergaulan bebas dan pembuangan bayi yang bilangannya semakin meningkat. Akhir-akhir ini kita sering dikejutkan dengan kes pembuangan bayi yang umpama 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Kemelut ini menunjukkan bahawa perbuatan zina telah menular dalam kalangan masyarakat. Pada pendapat saya, kekurangan kasih sayang dan perhatian ibubapa turut mendedahkan seseorang kepada perbuatan zina. Kebanyakan ibubapa terutamanya ibubapa yang bekerjaya menjadikan alasan sibuk bekerja sebagai penghalang untuk tidak memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak. Ibubapa hanya menyerahkan tanggungjawab memberi pendidikan dan membentuk peribadi anak kepada guru melalui proses pembelajaran di sekolah. Sekiranya timbul masalah berkaitan akhlak anak seperti pergaulan babas, ibubapa akan menuding jari kepada guru dan menyatakan guru terlibat tidak memainkan peranannya sebagai pendidik sebaik mungkin. Ibubapa adalah pemimpin sejati dalam membentuk tingkahlaku dalam membina sebuah keluarga harmoni dan tidak seharusnya menyerahkan tugasan mendidik anak kepada guru semata-mata kerana anak adalah amanah Allah s.w.t yang paling berharga.

Beliau turut menyentuh bahawa kecemerlangan dalam pelajaran bukanlah kayu ukur untuk membentuk peribadi mulia yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan zina. Setiap tahun kita akan disajikan dengan pencapaian akademik yang membanggakan dan rekod kecemerlangan baru turut dicipta samada di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Namun begitu, kes pembuangan bayi terus meningkat dan ada kalanya melibatkan golongan pelajar. Ini menunjukkan bahawa individu yang berpendidikan tinggi tidak terlepas daripada perbuatan zina tersebut. Pelajar hanya belajar bagi memenuhi keperluan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan harian. Ini jelas menunjukkan bahawa institusi pendidikan bukanlah medium paling berkesan untuk membentuk akhlak seseorang. Institusi pendidikan mampu menyebarkan ilmu pengetahuan dan menerapkan nilai-nilai murni secara berterusan dengan jayanya namun pembentukan akhlak yang terpuji bergantung kepada diri individu sendiri.

Dalam artikel ini, beliau turut menyediakan beberapa langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah zina tersebut. Langkah pencegahan pertama ialah tidak mendekati zina. Menurut beliau, manusia biasanya mudah tewas dengan desakan nafsu seks. Oleh sebab itu, langkah pencegahan awal ialah kita perlu menjauhi perkara-perkara yang ‘membuka ruang’ kepada perbuatan zina tersebut. Langkah kedua ialah jangan membiarkan diri terdedah kepada suasana yang mencetuskan perbuatan zina. Suasana tersebut menurut beliau ialah berdua-duaan, mendedahkan aurat dan menonton video lucah. Langkah seterusnya ialah jangan mengadakan aktiviti yang boleh mengundang perbuatan zina seperti parti sosial dan kelab malam. Saya menyokong langkah-langkah tersebut dan berpendapat penganjuran parti sosial biasanya turut disusuli dengan ‘pesta minuman keras’ yang menyumbangkan kearah perbuatan zina. Al-Quran turut menyebut bahawa arak adalah kunci maksiat seperti zina.

Beliau turut menengahkan fungsi kerajaan dalam menangani masalah ini dengan mengambil langkah tegas dan hukuman berat terhadap individu yang malakukan perbuatan zina tersebut. Hal demikian kerana hukuman yang berat dapat memberi ikhtibar kepada masyarakat agar menghindari perbuatan zina. Menjadi tanggungjawab bersama masyarakat menjauhi perbuatan zina seterusnya mengelakkan kemurkaan Allah. Justeru, saya berharap penggubalan undang-undang dan hukuman tegas digubal agar kerajaan tidak dilihat sebagai sebuah institusi yang mana undang-undangnya boleh 'dipermainkan'.

Oleh sebab itu, penting bagi kita mempunyai benteng ketahanan diri yang kuat untuk memelihara diri daripada melakukan perbuatan zina. Manusia dilahirkan bersama nafsu seks namun terserah kepada kebijaksanaan kita untuk mengawal hawa nafsu dan mempertimbangkan baik buruk sesuatu perkara seterusnya kesan perbuatan tersebut. Islam begitu memahami fitrah manusia yang mempunyai naluri seks dan keinginan untuk hidup berpasangan. Islam telah menganjurkan untuk memenuhi keinginan seks melalui saluran yang betul iaitu perkahwinan. Perkahwinan adalah cara terbaik yang dapat mengelakkan manusia daripada terjerumus ke kancah penzinaan yang membawa kehancuran. Perkahwinan bukan sahaja menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan malah memelihara keturunan melalui anak yang bakal dilahirkan kelak. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa Islam turut menekankan kepada kesucian keturunan. Pelbagai masalah yang timbul ekoran kelahiran di luar ikatan pernikahan. Sekiranya ini terjadi, sudah tentu akan meningkatkan kesan negatif kepada emosi individu yang terlibat dan keluarganya.

Kesimpulannya, kita sewajarya perlu memiliki asas iman yang cukup serta menjalankan tanggungjawab beribadah secara berterusan bagi memantapkan benteng pertahanan diri yang kuat. Hal demikian sangat mustahak kerana keteguhan iman adalah asas yang paling utama untuk menangkis perbuatan zina bagi memelihara kesucian diri seterusnya mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Monday, August 2, 2010

Salam penuh ukhuwah

Syukur akhirnya saya berjaya membuka sebuah blog sebagai melengkapkan sebahagian tugasan dalam Sarjana Pembangunan Islam. Ramai yang bertanya mengapa saya menamakan blog ini sebagai Takdir Yang Terindah. Saya juga meletakkan tajuk yang sama dalam laman sembang sosial (face book) yang lain. Pelbagai pendapat yang saya dengar dari rakan-rakan. Ada yang berkata maksudnya sangat mendalam dan tidak kurang juga menganggap saya 'minah jiwang'. Saya memilih tajuk ini kerana tidak kira yang saya lalui sama ada pahit atau manis, bagi saya semuanya terindah dalam hidup saya. Perlu bagi saya mensyukuri dan meredhai ketentuan Allah kerana takdirNya adalah yang terbaik dalam hidup kita. Justeru, tajuk ini akan saya jadikan 'pedoman' agar sentiasa positif dalam menempuh ujian yang pasti mendatang. Harapan saya agar 'buah tangan' saya dalam blog ini tidak berhenti sehingga saya tamat pengajian sahaja. Saya berhasrat agar blog ini menjadi medium saya menyebarkan idea-idea yang difikirkan bernas dan bertukar pendapat dengan kawan-kawan terutamanya sahabat ISDEV.