Tuesday, September 28, 2010

AL- THABAT WA AL- MURUNAH

CIRI-CIRI TASAWUR ISLAM: AL- THABAT WA AL- MURUNAH

Juniza Mohamad Jamari
Pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
USM Pulau Pinang
Sesi 2010/ 2011

Islam telah meletakkan pelbagai perkara yang merangkumi kehidupan manusia seterusnya menjadi panduan umat Islam di dunia. Islam telah menerapkan unsur-unsur wasatiyyah iaitu kesederhanaan dalam kehidupan umatnya. Ini jelas dibuktikan melalui penekanan keseimbangan antara ketetapan (Thabat- constancy) dan keanjalan (Murunah-flexibility) yang merupakan salah-satu ciri-ciri kesederhanaan. Keseimbangan antara al-Thabat dan al- Murunah merupakan fenomena wasatiyyah yang menjadi keistimewaan Islam seterusnya membezakan masyarakat Islam dengan masyarakat lain. Islam menyepadukan antara keduanya dengan meletakkan setiap satunya pada tempat yang tepat (Yusuf al- Qardhawi, 2000:293).
Perkataan al- Thabat bermaksud tetap dan mantap. Al- Murunah pula bermaksud anjal, boleh dilentur, menerima perubahan dan boleh disesuaikan. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua unsur tersebut terdapat dalam tasawur Islam yang bermaksud Islam itu bersifat al- Thabat tetapi dalam masa yang sama bersifat al- Murunah. Dalam erti kata lain, ia bersifat tetap dan mantap tetapi boleh dilentur serta tidak berubah tetapi boleh disesuaikan. Kemantapan dalam tasawur Islam bermaksud kemantapan pada tujuan dan matlamatnya. Kelenturan pula pada cara pendekatan. Tetap pada prinsip asal dan hukum-hukum Qat’inya tetapi lembut dan mudah dilentur pada ranting-ranting dan cabangnya. Kukuh dan istiqamah pada urusan-urusan dengan Allah. Lembut pada urusan keduniaan seperti yang disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud:
“ Kamu lebih mengetahui dengan urusan-urusan dunia kamu” (Haron Din, 1992:111 dan 112).
Menurut Yusuf al- Qardhawi (2000:294), konsep ketetapan (al- Thabat) dan keanjalan (al- Murunah) dalam Syariat Islam ialah:
1) Tetap pada tujuan dan matlamatnya tetapi anjal pada sarana dan bentuknya.
2) Tetap pada dasar dan kaedah-kaedah umumnya tetapi anjal pada perkara-perkara cabang serta juzuk-juzuknya.
3) Tetap pada nilai keagamaan dan akhlak tetapi anjal pada urusan keduniaan dan ilmu pengetahuan.
Dalam membicarakan aqidah Islam pula, penegasan terhadap aspek ketetapan (al- Thabat) ini merujuk kepada sesuatu yang amat nyata. Apabila dikatakan bahawa Allah itu “Esa” maka kefahaman tersebut akan kekal dan tidak akan berubah selama-lamanya seterusnya wajib dipercayai dan diyakini oleh umat Islam. Kefahaman ini juga termaktub dalam Rukun Iman yang menjadi pedoman umat Islam selama-lamanya. Hujah ini dikuatkan lagi melalui firman- firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“ Dan Tuhanmu (yang besar) adalah Tuhan yang satu (Esa) tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang ”. (al-Baqarah 2:163)

“ Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan bahawasanya Allah itu adalah salah satu (seorang) dari yang tiga pada hal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Allah yang tunggal. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu nescaya orang-orang kafir itu akan ditimpa seksaan yang amat pedih ”. (al- Maidah 5:73)
Segala sesuatu yang berkaitan dengan akidah Islam tidak pernah diubah atau dipinda merupakan ciri-ciri al- Thabat (Haron Din, 1992:113). Ini menunjukkan bahawa Allah ialah tuhan sama yang disembah dari zaman Nabi Adam a.s seterusnya pada zaman Nabi Muhammad s.a.w sehingga kini dan selama-lamanya. Hal demikian jelas menunjukkan bahawa Allah ialah Tuhan yang “Esa”, tidak akan berubah atau berganti. Bermula dari sifat Allah s.w.t. yang al- Thabat tersebut lahirlah perintah-perintah beribadat kepada manusia yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi pelengkap kepada kehidupan beragama. Justeru, terdapat ciri-ciri al- Thabat dan al- Murunah yang jelas dalam ibadat-ibadat ini. Syahadah, solat, puasa, zakat dan haji ialah Rukun Islam dan semua ibadat tersebut adalah al- Thabat kerana ibadah ini dilakukan sehingga kiamat dan cara melaksanakannya tidak berubah. Walaubagaimanapun terdapat unsur-unsur al- Murunah dalam ibadat tersebut. Syahadah tidak semestinya dilafazkan dengan terang dan jelas. Orang bisu melaksanakannya dengan isyarat. Solat pada asalnya perlu dilakukan dengan berdiri betul tetapi boleh ditunaikan dengan duduk, baring dan sebagainya jika uzur. Solat empat rakaat boleh ditunaikan dua rakaat sahaja (qasar) ketika perjalanan jauh atau dihimpunkan (jama’) dua waktu ditunaikan kedua-duanya dalam satu waktu sahaja. Ini jelas menunjukkan bahawa ibadat solat perlu dilakukan dalam apa keadaan sekalipun. Puasa pula boleh ditinggal sekiranya uzur tetapi wajib diqadakan selepas sihat. Menunaikan zakat hanya wajib apabila cukup rukun syaratnya manakala ibadat haji boleh ditunaikan oleh orang lain sekiranya uzur atau waris ingin menunaikan ibadah tersebut bagi ahli keluarganya yang sudah meninggal dunia. (Haron Din, 1992:113 dan114). Melalui contoh-contoh tersebut, jelaslah bahawa terdapat unsur-unsur al- Thabat dan al- Murunah dalam tasawur Islam yang juga menunjukkan ciri-ciri keseimbangan yang diterapkan oleh agama Islam sendiri.
Aspek al- Thabat dan al- Murunah juga dapat dilihat dalam melalui peranan Rasulullah s.a.w terhadap perkara yang berkaitan dengan wahyu, agama, akidah dan akhlak. Fenomena ini membuktikan bahawa ciri-ciri al- Thabat dan al- Murunah juga diadaptasi oleh Rasulullah s.a.w. semasa menyebarkan dakwahnya. Contohnya ialah ketegasan Rasulullah s.a.w. menolak dengan keras tindakan orang kafir yang menawarkan kepada Baginda agar Baginda bertolak ansur dengan mereka dengan menerima sebahagian ibadat mereka dan mereka menerima sebahagian ibadat Baginda. Di samping itu, orang kafir tersebut meminta Baginda menyembah tuhan mereka dan dalam masa yang sama mereka menyembah Allah walaupun hanya sekali. Namun begitu, Rasulullah s.a.w. tetap bertegas (al- Thabat) dengan pendirian Baginda dan ketegasan Baginda dipaparkan dalam surah yang dan menolak tawar-menawar tersebut. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“ Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat sacara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku ”. (al- Kafirun109: 1-6)

Aspek al- Thabat dan al- Murunah ini juga boleh disesuaikan dalam pendidikan berteraskan Islam (PBI). Penyelidikan berteraskan Islam perlu berdasarkan pembinaan tasawur Islam (al- Thabat). Walaubagaimanapun, memandangkan belum wujud kaedah penyelidikan Islam yang khusus, teknik penyelidikan lazim boleh digunakan buat sementara waktu selagi tidak bertentangan dengan prinsip yang digariskan oleh agama Islam (al- Murunah). Penyelidikan berteraskan Islam menjadi pemangkin kepada pembangunan berteraskan Islam. Perkara ini dikuatkan lagi dengan hujah Muhammad Syukri Salleh (2003:23), yang mengatakan bahawa matlamat pembangunan adalah mencapai keredhaan Allah. Oleh sebab itu, proses penyelidikan dalam pendidikan Islam perlu dijalankan secara berterusan agar Islam mempunyai set penyelidikan dan pembangunan berteraskan Islam yang tulen, kukuh dan seimbang seterusnya mendapat keredhaan Allah.

Kesimpulannya, al- Thabat dan al- Murunah melengkapkan lagi tasawur Islam seterusnya menjadi garis panduan umat Islam. Menurut tasawur Islam, dunia dan akhirat mempunyai keseimbangan. Terdapat elemen dalam diri manusia yang statik dan berubah. Al- Thabat dan al- Murunah membuktikan bahawa Islam sesuai dengan fitrah manusia seterusnya memudahkan lagi umat Islam dalam menjalani kehidupan sama ada berkenaan ibadat dan urusan harian. Allah mencipta manusia dengan matlamat yang sama iaitu beribadat dan mematuhi-Nya (al- Thabat) namun kehidupan, matlamat dan pandangan manusia selalu mengalami perubahan. Oleh yang demikian, maka jelaslah bahawa unsur al- Thabat dan al- Murunah ini berlaku pada manusia dan tidak diragui kewujudannya.



Bibliografi
Al-Qardawi, Yusuf. (2000). Pengantar Pengetahuan Islam, Prinsip, Keunikan, Matlamat, Sumber, terj. Mohammad Zaini Yahya. Selangor: As- Syabab Media.

Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam: Pustaka Hizbi.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Edition Sdn. Bhd.

3 comments:

  1. assalamualaikum kaq...sy minta izin c0py paste ilmu akq untuk dimuatkan dalam assigment sy ea...d0akan kejayaan sy..n sem0ga Allah membalas segala kebaikan akq dengan kebaikan yang lebih baik..insyaAllah..^_^

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum.. saya mahun copy untuk dijadikan rujukan bagi assignment saya. moga ilmu saudari semakin bertambah dan diberkati insyaAllah. doakan saya, tq.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum.. saya minta izin copy ya untuk dijadikan rujukan bagi assignment saya. semoga ilmu saudari bertambah dan diberkati insyaAllah. doakan saya, tq.

    ReplyDelete